IPOH – Kerajaan negeri mengesahkan bahawa tiada satu pun Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Integrasi KAFA di Perak yang ditutup operasinya sepanjang tempoh 2020 hingga 2025.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 16 buah sekolah di lima daerah terpaksa ditangguhkan operasi berikutan jumlah murid yang sedikit.
Katanya, kesemua sekolah yang telah ditangguhkan operasinya itu adalah sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 30 orang murid.
“Berdasarkan nisbah guru KAFA terhadap jumlah murid yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah seorang guru bagi nisbah 30 orang murid.
“Selain itu, Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 juga menetapkan jumlah murid yang perlu ada bagi sesebuah sekolah itu boleh beroperasi adalah tidak kurang daripada 20 orang murid.
“Semua sekolah yang ditangguhkan operasi itu adalah sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 30 orang murid,” katanya ketika menjawab soalan lisan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE















