KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga Indonesia gagal meloloskan diri daripada pemeriksaan polis apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas berhampiran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari, kenderaan jenis Honda HRV yang dinaiki ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan anggota yang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di sekitar Chow Kit.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, kenderaan berkenaan telah merempuh seorang anggota sebelum melarikan diri ke Jalan Kuching dan masuk ke kawasan BNM.
Menurutnya, suspek turut melanggar beberapa kenderaan termasuk motosikal orang awam sebelum disekat pihak polis di sekitar BNM sebelum kenderaan suspek terbabas merempuh tiang lampu dan pokok.
“Pemandu kemudian melarikan diri dan terjun tebing curam manakala seorang lagi bersembunyi dalam hutan di belakang BNM.
“Seorang lagi suspek, kita dapat tangkap serta-merta di kenderaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Sazalee berkata, motif suspek melarikan diri masih dalam siasatan dan semakan terhadap kenderaan mendapati ia bukan milik mereka.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek dan kenderaan itu didapati milik seorang individu lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, anggota yang dirempuh suspek mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Tambahnya, dua suspek cedera di bahagian kepala dan pinggang manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.
“Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an ditahan untuk soal siasat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















