MANCHESTER – Pengurus Everton, David Moyes mengakui tiada masalah jika pemainnya bergaduh sesama sendiri selepas berjaya melakar kemenangan dramatik 1-0 ke atas Manchester United awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Old Trafford itu, Everton terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak tengah, Idrissa Gueye dilayangkan kad merah pada minit ke-13 kerana menampar rakan sepasukan, Michael Keane.
Namun, Everton masih berjaya meraih tiga mata hasil jaringan tunggal yang dilakukan oleh Kiernan Dewsbury-Hall untuk menghadiahkan kekalahan pertama buat United di laman sendiri musim ini.
Moyes berkata, pergaduhan sesama rakan sepasukan bukanlah satu isu besar dan pengadil sepatutnya lebih bijak untuk tidak melayangkan kad merah kepada Gueye.
Selepas dimarahi Keane kerana satu hantaran cuai, Gueye mempersoalkan tindakan bek tengah itu sebelum mengangkat tangan dan menampar wajahnya, sekali gus menerima kad merah daripada pengadil, Tony Harrington.
“Saya tiada masalah jika pemain bergaduh sesama sendiri jika ada dalam kalangan mereka buat kesilapan. Dia telah memberi reaksi yang tepat tetapi mungkin agak keterlaluan daripada pandangan pengadil.
“Jika tiada layangan kad merah, pasti tidak jadi masalah tetapi mungkin pengadil ikut peraturan. Gueye pun sudah minta maaf, saya harap kami dapat lupakan persengketaan dan raikan kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, Dewsbury-Hall mengakui gembira dapat jadi wira pasukan kerana bukan mudah untuk menang ke atas United apabila beraksi dengan 10 pemain.
“Semua pemain telah bekerja keras sepanjang perlawanan untuk memastikan kita dapat melakar keputusan positif pada aksi kali ini,” katanya.
Dalam masa sama, Gueye, 36, juga mengakui kesilapan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
“Saya ingin memohon maaf terlebih dahulu kepada rakan sepasukan saya, Michael Keane. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas reaksi ini dan memohon maaf kepada rakan sepasukan, staf, penyokong dan kelab.
“Situasi ini tidak mencerminkan diri dan nilai saya. Emosi kadang-kadang memuncak, tetapi tiada apa yang boleh membenarkan tindakan ini. Saya akan pastikan ia tidak berlaku lagi,” jelasnya. – AGENSI














