ISKANDAR PUTERI – Seorang gadis sanggup mereka-reka cerita menjadi mangsa rogol dan dipaksa melakukan seks luar tabii oleh pemandu e-hailing kepada ibunya.
Bagaimanapun, helah wanita berusia 25 tahun itu terbongkar apabila dia mengaku kejadian tersebut tidak berlaku dan berbuat demikian kerana takut dimarahi ibu sebab pulang lewat ke rumah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.27 pagi semalam daripada wanita itu yang mendakwa ‘serangan’ tersebut berlaku sehari sebelumnya di dalam sebuah kereta di Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati pengadu mereka-reka cerita rogol selepas dimarahi keluarganya kerana pulang lewat ke rumah.
“Polis mengesahkan insiden itu tidak pernah berlaku dan pemandu e-hailing yang disebut tidak terlibat dalam jenayah seperti yang didakwa.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu, apatah lagi dakwaan serius seperti rogol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perbuatan membuat laporan palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE















