KUALA TERENGGANU – Seorang ahli perniagaan mendakwa sumbangan berjumlah keseluruhan RM148,000 yang diberinya kepada sebuah madrasah dan yayasan sejak lima tahun lalu disyaki telah diseleweng termasuk bagi aktiviti pengubahan wang haram.
Lelaki berusia 40 tahun berkenaan telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.05 pagi, 15 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ahli perniagaan berkenaan mendakwa sering membuat transaksi kewangan ke dalam lima akaun bank termasuk milik sebuah madrasah dan yayasan kebajikan terbabit sejak tahun 2020.
“Sepanjang tempoh tersebut, dia mendakwa melakukan tujuh transaksi berjumlah keseluruhan RM148,000 ke dalam semua akaun bank berkenaan.
“Dakwanya, sumbangan tersebut bertujuan atas dasar kepercayaan dan niat baik bagi kegunaan majlis agama, pembinaan madrasah serta program bantuan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Difahamkan madrasah dan yayasan tersebut dikaitkan dengan seorang individu berusia 40-an yang sedang menghadapi beberapa pertuduhan jenayah di mahkamah dan madrasah terbabit juga disahkan tidak berdaftar dengan majlis agama negeri baru-baru ini.
Azli berkata, ahli perniagaan tersebut begitupun mula ragu-ragu apabila mendapat maklumat kemungkinan sumbangan terbabit telah disalah guna bagi tujuan peribadi atau aktiviti mencurigakan termasuk pengubahan wang haram dan jenayah terancang.
Beliau berkata, lelaki itu yang mengesyaki telah tertipu telah memohon polis melakukan siasatan.
“Dia menegaskan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan individu dan penama akaun bank berkenaan sekali gus tidak terlibat dalam aktiviti jenayah sekiranya berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE















