JITRA – Mangsa banjir di Kampung Paya Tok Kiong di sini terpaksa berlindung di beranda rumah selama lima jam selepas kediaman mereka dinaiki air dengan pantas dalam kejadian awal pagi ini.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Maznah Mohamad, 55, berkata dia dan suami, Bakri Hassan, 61, sedang tidur apabila air mula memasuki rumah mereka sekitar pukul 4 pagi.
“Air naik dengan cepat sebelum menenggelamkan rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa, lalu berlari ke beranda.
“Kami diselamatkan dan kini tinggal sehelai sepinggang. Semua barang habis tenggelam,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Tok Kiong hari ini selepas berjaya dibawa keluar oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Suri rumah itu menambah, ini merupakan kejadian banjir kedua, namun kali ini lebih teruk kerana air naik laju akibat arus deras.
“Pada April lepas pun banjir dan kami terpaksa berpindah, tetapi kali ini lebih teruk sebab arus deras sangat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Yazid Ali, 45, dari Kampung Kelubi berkata, dia bersama tiga anaknya termasuk seorang bayi berusia dua bulan keluar segera dari rumah awal pagi tadi.
“Kami buat keputusan keluar cepat apabila air mula naik kerana ada bayi. Kalau lambat, bimbang keadaan bertambah buruk dan kami perlu diselamatkan. Semua barang sempat dipindahkan ke tempat lebih tinggi sebelum kami ke pusat pemindahan sementara di Dewan Wawasan Jitra,” katanya. – KOSMO! ONLINE















