SEBERANG PERAI – Tiada sekolah menengah di negeri ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, langkah itu diambil bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini berjalan lancar.
“Buat masa ini, terdapat tiga PPS yang menggunakan premis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi, SK Pengkalan Jaya dan SK Permatang Pasir.
“Ketiga-tiga PPS ini menempatkan mangsa banjir dan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri turut memahami keperluan tersebut.
“Kita menggunakan sekolah rendah untuk menguruskan mangsa supaya tiada gangguan terhadap pelaksanaan peperiksaan SPM di sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan sempena hari pertama peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Jawi, Nibong Tebal, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang turut memantau keadaan semasa berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi selain bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan agensi lain bagi melihat kemungkinan berlaku bencana banjir yang boleh menjejaskan kawasan-kawasan tertentu. – KOSMO! ONLINE















