fbpx
KUMPULAN pejuang RSF meraikan kegembiraan menawan bandar El-Fasher, hujung OKtober lalu. - Foto AFP

RSF umum gencatan senjata di Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KHARTOUM – Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengisytiharkan gencatan senjata unilateral selama tiga bulan di Sudan, sehari selepas pihak tentera negara itu menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) yang dikemukakan oleh negara-negara pengantara.

Pasukan separa tentera yang berperang dengan Angkatan Tentera Sudan (SAF) sejak April 2023 itu berkata, mereka mengisytiharkan gencatan senjata sebagai tindak balas terhadap usaha antarabangsa termasuk inisiatif Presiden AS, Donald Trump dan empat negara pengantara. 

Negara-negara pengantara itu dikenali sebagai kumpulan Quad yang terdiri daripada AS, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

RSF mengumumkan gencatan senjata kemanusiaan semalam sekali gus menyediakan peluang untuk permusuhan dihentikan selama tiga bulan.

Pengumuman itu dibuat dalam mesej rakaman video oleh Ketua RSF, Mohamed Hamdan Daglo yang juga bekas timbalan Ketua SAF, Abdel Fattah al-Burhan yang kini menjadi musuh ketatnya.

Langkah RSF itu dibuat selepas UAE mengecam Abdel Fattah kerana menolak cadangan gencatan senjata AS dan menuduh Washington mengulang pendirian Abu Dhabi mengenai konflik itu.

UAE sering dituduh membekalkan senjata kepada RSF tetapi Abu Dhabi telah berulang kali menafikan tuduhan tersebut.

Kelmarin, Abdel Fattah menyifatkan cadangan gencatan senjata yang dihantar oleh Utusan AS, Massad Boulos sebagai yang terburuk setakat ini dan tidak diterima oleh pemerintahannya yang berpusat di Port Sudan, Laut Merah.

Ketua tentera itu menyifatkan kumpulan empat negara tersebut sebagai ‘memihak kepada RSF’ selagi UAE menjadi anggota dan menuduh Massad hanya mengulang kenyataan dari Abu Dhabi.

Perhatian antarabangsa terhadap konflik itu meningkat sejak RSF menawan bandar utama wilayah Darfur, El-Fasher, bulan lalu selepas pengepungan berterusan yang mencetuskan amaran tentang jenayah kemanusiaan dan genosid. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI