PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitipkan doa agar semua mangsa banjir yang terjejas di 10 negeri diberikan perlindungan dan ketabahan.
Menerusi titah kepada Royal Press Office (RPO), Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan dan pihak berkaitan yang sedang bertungkus-lumus membantu rakyat di kawasan terjejas.
Berikutan jumlah mangsa semakin meningkat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sultan Ibrahim menitahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memastikan PPS berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu menampung keperluan mangsa yang dipindahkan.
“Pastikan kemudahan asas, bekalan makanan serta perubatan tersedia dengan mencukupi.
“Rakyat juga diingatkan supaya mematuhi arahan pemindahan dan tidak mengambil risiko berada di kawasan berbahaya,” titah Baginda.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, mangsa banjir terus meningkat apabila merekodkan seramai 20,357 orang daripada 6,826 keluarga di lapan negeri setakat pukul 12 tengah hari ini.
Kesemua mangsa ditempatkan di 125 buah pusat pemindahan sementara (PPS). – KOSMO! ONLINE














