GUA MUSANG – Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras Sungai Nenggiri meningkat sekali gus menenggelamkan jalan dan jambatan perhubungan penduduk Orang Asli di sekitar Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A di sini hari ini.
Penghulu RPS Kuala Betis Blok A, Rodzi Asod berkata, paras Sungai Nenggiri yang meningkat menyebabkan jambatan sementara merentasi Sungai Peralong di Kuala Betis tenggelam.
Katanya, jambatan sementara itu dibina bagi menghubungkan penduduk di Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob selepas jambatan asal runtuh dibadai kepala air pada Rabu lalu.
“Berdasarkan maklumat tok batin, cuaca masih lagi hujan di Lojing, Pos Bihai dan Pos Belatim sejak malam semalam.
“Keadaan itu menyebabkan paras Sungai Nenggiri meningkat sehingga beberapa kawasan di Kuala Betis mula dinaiki air,” katanya.
Seorang penduduk Orang Asli Pos Belatim, Rahimi Dolah, 46, berkata, hujan berterusan selama tiga hari di kawasan pedalaman mengakibatkan laluan ke pos itu dipenuhi selut tebal.
“Situasi masih lagi terkawal apabila rumah penduduk tidak ditenggelami air. Penduduk di pedalaman kini berjaga-jaga mengehadkan waktu mencari hasil sungai kerana bimbang risiko kejadian kepala air,” katanya. – KOSMO! ONLINE















