KABUL – Serangan semalaman Pakistan ke atas negara jirannya, Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, kata jurucakap kerajaan Taliban hari ini.
“Pasukan penceroboh Pakistan mengebom rumah seorang penduduk awam. Akibatnya, sembilan kanak-kanak (lima lelaki dan empat perempuan) serta seorang wanita meninggal dunia di wilayah Khost,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid di platform X.
Tambahnya, serangan udara yang menyasarkan wilayah sempadan Kunar dan Paktika telah mencederakan empat orang awam lagi.
Pengeboman itu berlaku selepas serangan bunuh diri yang tidak dituntut semalam terhadap pasukan keselamatan Pakistan di sebuah wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan.
Satu lagi letupan seumpamanya di ibu negara Pakistan, Islamabad berlaku bulan ini yang mengorbankan 12 orang. Kumpulan Taliban Pakistan yang berkongsi ideologi sama dengan Taliban Afghanistan mengaku bertanggungjawab atas insiden itu.
Islamabad menyalahkan kumpulan militan yang dibimbing secara sistematik oleh markas utama yang berpangkalan di Afghanistan atas serangan ibu negara itu.
Pengeboman tersebut berlaku susulan tembakan rentas sempadan selama beberapa hari pada Oktober lalu, yang berakhir dengan gencatan senjata yang rapuh.
Sejumlah pusingan rundingan gagal mendapatkan persetujuan kukuh, dengan perselisihan faham mengenai keselamatan di setiap negara masih wujud. – AFP














