KANGAR – Jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat mendadak kepada 5,591 orang setakat pukul 4 petang tadi selepas puluhan kampung di negeri ini ditenggelami air sejak dua hari lalu.
Laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis menunjukkan sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) kini beroperasi di Padang Besar, Kangar dan Arau bagi menempatkan 1,421 keluarga.
“Kangar sahaja sembilan PPS beroperasi termasuk Dewan 2020, Dewan Warisan, IPG Perlis, Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Syed Alwi dan SK Panggau. PPS Dewan 2020 menjadi yang terbesar dengan menempatkan 722 mangsa.
“Padang Besar mencatatkan 1,047 mangsa direkodkan khususnya dari Lubuk Sireh, Mata Ayer dan Bukit Keteri. Bagi Arau, empat PPS termasuk Universiti Teknologi Mara Arau, SK Guar Nangka serta Universiti Malaysia Perlis di Kubang Gajah menempatkan lebih 1,300 mangsa,” katanya hari ini.
Laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis menyebut, paras air sungai masih meningkat meskipun cuaca cerah, manakala kelajuan angin yang dicatatkan adalah 22 kilometer sejam. – KOSMO! ONLINE















