PETALING JAYA – Lincoln University College (LUC) dan Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) telah menjalin kerjasama strategik bagi melahirkan lebih ramai golongan usahawan berpendidikan dan berwawasan tinggi.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama antara kedua-dua belah pihak diperkukuh dengan termeterainya satu memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini.
Jelas beliau, melalui MoU berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan pendidikan, peningkatan kapasiti modal insan, penyelidikan akademik, program latihan serta perkongsian kepakaran.
“DPDDM dan LUC percaya bahawa kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang masa hadapan, memperkukuh jaringan antarabangsa serta meningkatkan kredibiliti kedua-dua institusi dalam usaha membentuk generasi pemimpin dan usahawan yang lebih berdaya saing,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, LUC jadi pilihan kerana ia merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam menyediakan pendidikan kelas dunia.
Malah katanya dengan keupayaan tinggi dalam menghasilkan profesional yang berpengetahuan dan mahir untuk berkhidmat kepada masyarakat global.
“Dengan keahlian yang merentasi pelbagai sektor industri, DPDDM berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi `jambatan emas’ kepada LUC untuk bersama-sama Kerajaan Madani dalam melahirkan komuniti berpendidikan, perniagaan dan usahawan baharu.
“Diharap melalui kerjasama strategik ini semua orang atau usahawan dapat meningkatkan peluang belajar sepanjang hayat, kemahiran praktikal, dan nilai-nilai sosial, sambil memanfaatkan teknologi seperti AI untuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.-KOSMO ONLINE















