SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan menyalurkan Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Ketiga kepada 123 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, keputusan itu dibuat dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi.
Katanya, tindakan ini susulan laporan Pejabat Daerah berhubung keperluan bantuan sewa rumah bagi tempoh Oktober hingga Disember ini. Jumlah peruntukan keseluruhan bagi fasa ini adalah sebanyak RM738,000.
“Pembayaran bantuan akan disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, dengan kelulusan peruntukan fasa ketiga ini, kerajaan negeri terus menzahirkan komitmen bagi memastikan kebajikan mangsa kebakaran sentiasa diberi perhatian.
“Selain itu ia bagi memastikan mereka dapat kembali ke rumah masing-masing apabila keadaan benar-benar pulih dan selamat,” katanya.
Letupan pada 1 April lalu mengakibatkan 81 buah rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan, tetapi tidak terbakar. – KOSMO! ONLINE















