fbpx
Muhammad Nabil dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret Muar hari ini selepas mengaku salah mencederakan isteri dan bapanya menggunakan pisau serta melakukan ugutan jenayah, 17 September lalu.

Lelaki cederakan isteri, bapa guna pisau dijel 9 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Bekas juruteknik yang sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun lapan bulan, diperintah menjalani hukuman tambahan sebanyak sembilan tahun lagi selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Nabil Abu Bakar, 32, yang menjalani hukuman penjara kerana membakar rumah dan kenderaan ahli keluarganya, bulan lalu, berhadapan empat pertuduhan mencederakan isteri dan bapa serta ugutan jenayah.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan mencederakan isterinya berusia 34 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Jalan Bakri di sini, 8 pagi, 17 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman ini manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Hakim Mohd Khairi Haron kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat dan lapan tahun bagi kedua-dua pertuduhan dengan kesemuanya berjalan serentak.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama kerana mencederakan bapanya berusia 70 tahun yang mana turut dibaca dengan Seksyen 326A.

Satu lagi pertuduhan dikenakan tertuduh mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah terhadap bapanya.

Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman penjara 10 dan 12 bulan dengan kedua-dua hukuman itu juga berjalan serentak. Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara sembilan tahun.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan berhubung kebakaran sebuah rumah serta dua buah kenderaan yang dilakukan seorang lelaki iaitu tertuduh.

Siasatan polis mendapati, sebelum kejadian, tertuduh dilaporkan positif dadah jenis methampethamin bertindak melibas bapanya dengan rotan serta mencederakan lelaki itu menggunakan pisau.

Tertuduh kemudian masuk ke dalam rumah dan membakar langsir serta beberapa barangan dalam rumah ibu bapanya.

Pendakwaan di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI