KLUANG – Individu yang bersilat di Tanah Perkuburan Kampung Melayu di sini sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini ditahan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, anggota Balai Polis Sri Lalang menahan lelaki berusia 31 tahun itu pada pukul 1 tengah hari semalam.
“Suspek ditangkap di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang. Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan dadah. Dia ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, satu video berdurasi 27 saat dirakam pengguna jalan raya sebelum dimuat naik dalam media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
Kelmarin, Pejabat Kadi Daerah Kluang memaklumkan tiada sebarang unsur pemujaan atau ritual bercanggah syarak di kawasan tanah perkuburan tersebut.-KOSMO! ONLINE















