IPOH – Seramai 2,678 mangsa banjir melibatkan 845 buah keluarga di Perak kini ditempatkan di 29 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, Manjung kekal menjadi daerah terbanyak mangsa banjir apabila 1,310 penduduk (401 keluarga) kini berlindung di 13 PPS.
“Ia diikuti daerah Perak Tengah yang merekodkan seramai 770 orang mangsa dari 256 buah keluarga dengan mereka ditempatkan di tujuh buah PPS.
“Seterusnya ialah Bagan Datuk yang mempunyai 242 orang mangsa dari 82 buah keluarga yang berlindung di 13 buah PPS, diikuti Hilir Perak yang merekodkan 198 orang mangsa melibatkan 58 buah keluarga dan mereka ditempatkan di dua buah PPS,” katanya di sini hari ini.
Katanya, ia diikuti daerah Muallim yang merekodkan 92 orang mangsa dari 28 buah keluarga, dengan kini mereka ditempatkan di dua buah PPS.
“Larut, Matang dan Selama pula merekodkan 66 mangsa dari 20 buah keluarga yang berlindung di dua buah PPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE















