IPOH – Kenaikan elaun untuk ketua kampung dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) antara yang diumumkan kerajaan negeri melalui Belanjawan Perak 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kadar elaun bulanan Ketua Kampung Tradisional, Ketua Kampung Cina dan Ketua Kampung India itu dinaikkan sebanyak RM100 sebulan menjadikan elaun bulanan mereka akan berjumlah RM900 berkuat kuasa 1 Januari depan.
Katanya, kenaikan itu akan memberi manfaat kepada 996 orang ketua kampung di seluruh negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.8 juta iaitu peningkatan RM1.4 juta setahun.
“Manfaat tersebut merupakan penghargaan kerajaan negeri atas peranan besar yang dimainkan oleh ketua kampung sama ada Ketua Kampung Tradisional, Ketua Kampung Cina mahupun Ketua Kampung India yang sentiasa menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan dan rakyat,” katanya berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE















