KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kakak ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan seorang lagi individu yang juga sekutunya membayar ganti rugi hampir AS$2.8 bilion (RM11.57 bilion) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat subsidari.
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas membenarkan penghakiman ingkar yang dikemukakan 1MDB dan syarikat subsidarinya terhadap kakak perempuan Jho Low, Low May Lin dan sekutunya Eric Tan Kim Loong.
Eric Tan perlu membayar AS$2.7 bilion, manakala May Lin sebanyak AS$809,000. Mereka turut diarah menjelaskan kos RM500,000.
Penghakiman ingkar telah diberikan terhadap kedua-dua individu untuk tuntutan mahkamah namun kedua-duanya gagal hadir selain memfailkan sebarang pliding atau hadir perbicaraan.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Mahazan berpuas hati, kedua-dua defendan telah menyembunyikan penipuan mereka dengan menyeleweng dana terbabit dan menyebabkan mereka memperolehi kekayaan secara tidak wajar.
Ujar beliau, May Lin menerima AS$809,319 yang dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi melalui empat pemindahan daripada bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng.
“Pemindahan itu dilakukan tanpa sebarang rasional komersial dan berpunca daripada dana yang diselewengkan melalui Good Star. Sebagai kakak Jho Low, peranannya sebagai penerima dana yang diseleweng secara peribadi,” katanya.
Hakim Mahazan turut berpuas hati, 1MDB dan empat anak syarikatnya telah membuktikan tuntutan mereka terhadap kedua-duanya atas imbangan kebarangkalian.
Beliau menyatakan, kedua-duanya menggunakan dokumen korporat, carta aliran dana, rekod bank dan keterangan saksi adalah kekal dan tidak dicabar.
Semasa prosiding, 1MDB diwakili peguam Siva Kumar Kanagasabai dan Lee Shih.
Untuk rekod, selain 1MDB, keempat-empatnya ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited. – KOSMO! ONLINE















