PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat siasatan lanjut berkaitan sebuah video tular membabitkan pengeluaran dan penggunaan brek cakera motosikal yang mempunyai lambang lucah.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan, berkata, ia melibatkan pengeluaran barangan yang tidak sopan dan bertentangan dengan tatasusila rakyat Malaysia.
Bagaimanapun beliau berkata, lokasi pengeluaran barangan berkenaan tidak dimaklumkan.
“Oleh itu pihak kami akan membuat siasatan lanjut dan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Jawi turut menasihati para pengeluar dan pengguna agar tidak menggunakan apa-apa lambang lucah pada produk dan barang kegunaan mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu beliau berkata, pihaknya mengesan isu berkenaan menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial bernama Shinji Nagato.
Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan menyatakan kekesalan terhadap pengeluaran dan penggunaan brek cakera motosikal yang mempunyai lambang lucah serta menggesa pihak berkuasa bertindak segera. – KOSMO! ONLINE















