PETALING JAYA –Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan di beberapa negeri Pantai Timur sehingga esok, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko banjir terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Dalam satu kenyataan hari ini, agensi itu berkata, kawasan Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh serta daerah Besut di Terengganu diletakkan bawah Amaran Bahaya (Merah) dengan hujan dijangka turun tanpa henti.
Sementara itu, beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama), serta daerah lain di Kelantan dan Terengganu pula berada di tahap Amaran Buruk (Jingga).
MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Waspada (Kuning) bagi Hulu Perak dan Manjung, Gua Musang, serta kawasan tanah tinggi dan pedalaman Pahang seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Jabatan itu menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko, supaya peka dengan arahan pihak berkuasa, mengelakkan laluan dinaiki air dan bersedia untuk pemindahan jika diperlukan.- KOSMO! ONLINE














