PETALING JAYA – Keadaan cuaca di negara ini dijangka terus tidak menentu apabila hujan lebat serta ribut petir kini bertumpu di kawasan utara dan barat Semenanjung Malaysia, menurut amaran terbaharu yang dikeluarkan MetMalaysia malam ini.
Kawasan yang paling terkesan melibatkan beberapa daerah di Perak termasuk Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim menjadikannya negeri paling luas dilanda cuaca buruk pada petang Selasa.
Selain itu, cuaca sama turut dijangka melanda kawasan barat daya Semenanjung termasuk Selangor (Sabak Bernam, Hulu Selangor), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau) serta Melaka selain sebahagian wilayah timur Pahang.
Menurut MetMalaysia, ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam yang berpotensi berlaku lebih daripada satu jam. Amaran ini juga sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai di negeri-negeri berkenaan diingatkan supaya berjaga-jaga, memandangkan hujan tertumpu di bahagian barat dan utara mampu menyebabkan kenaikan paras air secara mendadak. – KOSMO! ONLINE















