JOHOR BAHRU – Seramai 29 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi bersepadu di kawasan komersial, hotel dan premis makanan sekitar bandar raya ini semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan pada pukul 11 pagi itu hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki Myanmar, 13 lelaki Indonesia, lapan wanita Indonesia, empat wanita Laos dan dua wanita Myanmar.
“Sebahagian wanita warga asing yang ditahan di hotel disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral.
“Hasil siasatan mendapati mereka menawarkan caj servis RM260 setiap langganan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua tahanan berusia antara 22 hingga 52 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut, manakala dua borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
“JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan majikan, pemilik premis atau individu yang menggajikan serta melindungi pendatang tanpa izin,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE















