fbpx
Fadillah ketika berucap pada majlis perasmian MIH Megatrends 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

Cabaran utama sektor kesihatan jadi fokus reformasi – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) terus berusaha menangani kesesakan hospital awam serta menyelesaikan isu berkaitan doktor kontrak dan tenaga kerja kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara cabaran utama yang terus menjadi tumpuan kerajaan dalam memperkukuh sektor kesihatan negara termasuk usaha meningkatkan infrastruktur kesihatan awam, mengurangkan kesesakan hospital, menangani inflasi perubatan serta menyelesaikan isu doktor kontrak dan tenaga kerja kesihatan.

Selain itu katanya, kerjasama awam dan swasta serta pemerkasaan Agenda Nasional Malaysia Sihat turut diberi keutamaan dalam memastikan sistem kesihatan negara lebih berdaya tahan dan bersifat mampan.
“Sektor kesihatan beroperasi dalam persekitaran yang kompleks, dipengaruhi ketidaktentuan, asimetri maklumat antara penyedia serta pesakit selain campuran peranan antara perkhidmatan awam dan swasta.

“Situasi itu menuntut pendekatan lebih inklusif, menyeluruh dan bersepadu seiring dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu kemampanan, kemakmuran, inovasi, hormat, amanah dan belas ihsan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025, di sini, hari ini.

Jelasnya, nilai ini mesti menjadi asas kepada setiap pembaharuan supaya sistem kesihatan negara yang bukan sahaja cekap, tetapi juga adil dan berperikemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap sektor kesihatan turut dizahirkan menerusi Belanjawan 2026, menyaksikan peruntukan sebanyak RM46.5 bilion disalurkan kepada KKM meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Langkah itu, jelasnya, bagi memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, saksama dan mampu dicapai tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi.

Fadillah menegaskan, arah strategik negara kini memberi penekanan kepada pembinaan sistem kesihatan yang tahan lasak melalui inovasi berani dan kerjasama bermakna antara kerajaan, pemain industri dan komuniti profesional. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI