fbpx
Norriyana tetap ceria bersama anak-anaknya meskipun patah tangan kiri ketika ditemui di PPS SK Desa Aman, Kuala Selangor. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS / KOSMO!

Banjir: Wanita patah tangan tergelincir dua kali ketika pindah PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Detik cemas dilalui seorang wanita apabila tangan kirinya patah ketika berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kejadian banjir yang melanda kawasan Saujana Aman, semalam.

Kejadian berlaku ketika Norriyana Othman, 44, terjatuh sebanyak dua kali akibat tergelincir dalam proses membawa anak sulungnya, Wan Elisya Natasha Wan Mohd. Hafiz, 19, dari Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coalfields ke PPS baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman.

Menurut Norriyana, rumahnya di Taman Saujana Aman dinaiki air hampir satu meter seterusnya memaksanya dan tiga anak berpindah ke PPS yang dibuka pihak berkuasa dan semasa kejadian, suaminya bekerja di luar kawasan.
“Selepas PPS SK Desa Aman dibuka, kami diarahkan berpindah ke sana. Dalam proses itu saya tergelincir dua kali sehingga tangan kiri mula sakit.

“Pegawai Kesihatan yang berada di lokasi terus membawa saya ke Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam untuk pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan tangan saya patah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Norriyana berkata, doktor menasihatkannya supaya ditahan di wad bagi pemantauan, namun dia menolak kerana tidak sanggup meninggalkan tiga anaknya berusia 13 hingga 19 tahun di PPS tersebut.

“Doktor beri kebenaran untuk saya keluar, tetapi saya perlu menjalani pemeriksaan lanjut selepas tiga bulan. Ini kali ketiga saya berpindah ke PPS sejak empat tahun tinggal di Saujana Aman. Saya harap kerajaan dapat selesaikan masalah banjir di kawasan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI