KUALA TERENGGANU – Sebanyak 33 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu telah dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir sepanjang tempoh peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, ia akan menjejaskan 649 calon SPM.
Beliau berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan rekod lampau banjir tahun-tahun kebelakangan termasuk kedudukan lokasinya berhampiran sungai dan kawasan rendah serta risiko laluan terputus.
“Sebanyak 12 pusat peperiksaan berisiko banjir dikenal pasti di Setiu, Hulu Terengganu (enam), Kemaman (lima), Besut (empat), Dungun (tiga), Kuala Nerus (dua) dan Marang (satu).
“Sehubungan itu, sebanyak 13 pusat peperiksaan telah disenaraikan sebagai lokasi alternatif yang akan diaktifkan serta-merta sekiranya berlaku banjir pada hari peperiksaan SPM,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini, hari ini.
Kamsah berkata, antara pusat peperiksaan alternatif tersebut ialah SMK Ajil, SMK Landas dan SMK Kuala Telemong yang terletak di Hulu Terengganu.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) juga telah menyediakan pelan kontingensi termasuk pemindahan calon ke pusat peperiksaan lain sekiranya lokasi asal tidak dapat beroperasi akibat banjir. – KOSMO! ONLINE














