BUKIT KAYU HITAM – Seorang peniaga kedai makan di Hatyai, Thailand menganggarkan kerugian akibat banjir kira-kira RM50,000 selepas premisnya itu ditenggelami air hingga paras dada.
Menurut Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini, 38, semua barang di kedai makan yang diusahakannya sejak dua tahun lalu tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan cepat.
“Banjir di kedai cecah paras dada, semua barang tenggelam. Daripada segi kerugian, saya belum pasti, namun dianggarkan kira-kira RM50,000.
“Tahun lepas pun banjir tapi tidak teruk kerana setakat buku lali sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, selain kedai, rumahnya yang terletak tidak jauh dari kedai juga terjejas.
“Saya sendiri pun tidak dapat melihat keadaan di kedai dan rumah. Isteri saya yang terkandas juga sukar dihubungi kerana gangguan talian telefon dan internet,” ujarnya.
Ahmad Qusyairi yang juga merupakan Pegawai Perhubungan Antarabangsa Majlis Perbandaran Kubang Pasu berkata, dia turut membantu menguruskan bantuan makanan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Bantuan makanan serta susu dan lampin pakai buang daripada NGO ini diletakkan di pusat pengumpulan di Danok dan akan dihantar ke Hatyai.
“Terdapat cabaran untuk menghantar semua bantuan ini ke sana kerana laluan ditenggelami banjir,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














