MELAKA – “Memang luahan ini mungkin membawa persepsi negatif kepada negara jiran, tetapi apabila berlaku bencana banjir, hanya orang kita yang bantu sesama sendiri. Pihak kerajaan mereka seperti tidak peduli,” luah Muhammad Hazwan Zammizi, 29.
Hazwan merupakan salah seorang daripada 10 sekeluarga yang terkandas selama empat hari di Hatyai, Thailand, sebelum berjaya pulang ke Malaysia dan tiba pada pukul 1 tengah hari tadi menaiki Mitsubishi Triton milik mereka.
Katanya, sepanjang tempoh itu, keluarganya menghadapi pelbagai rintangan termasuk bekalan makanan dan minuman yang terhad, selain tubuh badan serta mental semakin letih susulan cuaca hujan berterusan.
“Kami ingat kami boleh lepas Ahad itu, namun air tiba-tiba menjadi deras dan terkandas semula di sebuah stesen minyak.
“Selepas tu kami tunggu sehingga waktu awal pagi dengan harapan boleh meneruskan perjalananan, namun selepas itu terkandas semula dan terpaksa menumpang lori ikan untuk ke kawasan selamat untuk berteduh,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh tersebut, pasukan tentera negara terbabit yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal dan menjaga keselamatan orang ramai seolah-olah tidak mengambil peduli untuk membantu mangsa dari Malaysia.
“Pagi tadi, kami berjaya ambil semula pikap dan seorang rakyat Malaysia yang menetap di Hatyai membantu memandu trak tunda di hadapan untuk menguak arus banjir untuk membuka laluan bagi kenderaan kami.
“Total tujuh buah kenderaan dari Malaysia ikut dari belakang dan kami semua selamat sampai pukul 1 tadi. Pihak imigresen dan kastam juga terkejut apabila melihat kami,” ujarnya.
Hazwan berkata, pengalaman itu membuatkan dia lebih menghargai bantuan sesama rakyat Malaysia, khususnya dalam situasi kecemasan dan bencana alam. – KOSMO! ONLINE















