BUKIT KAYU HITAM – Pasukan penyelamat sukarela dari Malaysia berjaya memasuki kawasan Hatyai, Thailand bagi membantu operasi menyelamat lebih 1,000 pelancong yang masih terkandas di sana.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, seramai 310 pelancong Malaysia berjaya dibawa keluar dari Hatyai sehingga petang ini.
“Tiga lori treler dibawa masuk bagi memindah keluar semua mangsa dari kawasan bencana,” katanya hari ini.
Katanya, keadaan banjir di Hatyai dan Songkhla masih kritikal dengan paras air mencecah 1.5 meter sehingga memaksa pihak berkuasa Thailand mengeluarkan amaran merah.
“Kami menerima lebih 1,000 panggilan kecemasan pada pagi ini. Banyak rumah dan hotel sudah ditenggelami air dan tanpa operasi menyelamat serta agihan bantuan segera, keadaan pelancong yang terperangkap dibimbangi menjadi lebih buruk,” ujarnya.
Beng Tat turut berharap kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan penyelamat rasmi bagi mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.
Menurutnya, banjir di Selatan Thailand sudah berlanjutan selama lima hari dan pasukan sukarela Malaysia komited membantu sejak hari pertama.
Beliau turut mendedahkan paras air sempat surut sedikit pada hari ketiga banjir, namun ramai mangsa tidak bertindak segera untuk pulang ke tanah air. – KOSMO! ONLINE














