fbpx
Habib Rahman (kiri) dan Mohd. Razwil (kanan) ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini. Foto oleh SAFINA RAMLI / KOSMO!

40 tahun menanti, Mohd. Razwil sah warganegara Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan Mohd. Razwil Abdullah, 41, layak menerima status sebagai warganegara Malaysia.

Menurut peguam diwakili Mohd. Razwil, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 14 November 2024 kekal berkuat kuasa selepas JPN menarik balik rayuan yang sepatutnya didengar hari ini.

“Saya telah menerima pengesahan bahawa pihak perayu menarik balik rayuan tersebut. Dengan itu, keputusan Mahkamah Tinggi adalah muktamad dan kekal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Kes tuntutan kewarganegaraan itu difailkan pada 8 April 2024 selepas Mohd. Razwil berjaya menjejaki seorang wanita yang menemuinya ketika bayi, Rohaida Abdul Rashid yang kemudiannya menjadi satu-satunya saksi penting dalam permohonan berkenaan.

Mengulas lanjut, Habib Rahman berkata, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini mengisytiharkan Mohd. Razwil sebagai warganegara Malaysia di bawah Perkara 14(1) Perlembagaan Persekutuan serta melayakkan beliau menerima taraf warganegara melalui prosedur undang-undang.

Katanya, mahkamah turut mengarahkan pihak defendan, termasuk Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian serta Ketua Pengarah JPN mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan kad pengenalan warganegara kepada Mohd. Razwil.

“Selepas ini, kami akan mengambil langkah pentadbiran untuk mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan baharu seperti yang diarahkan mahkamah. Ini adalah kes yang berlarutan lebih 40 tahun. Hari ini, penantian dan polemik mengenai status beliau akhirnya menemui penyelesaian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Razwil yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan di Butterworth berkata, dia bersyukur dengan keputusan berkenaan dan segala penantiannya untuk mendapatkan status warganegara Malaysia telah berakhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN