KANGAR – Situasi banjir di Perlis terus meruncing apabila sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan dengan menempatkan seramai 3,585 mangsa daripada 1,061 keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, antara PPS terawal dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh yang mula beroperasi pada 23 November menempatkan 218 mangsa diikuti SK Felda Mata Ayer (332 mangsa) dan Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer (112 mangsa)
“Bagi kawasan Arau, beberapa PPS dibuka bermula awal pagi 24 November termasuk Dewan Warisan (197 mangsa), SK Guar Nangka (315 mangsa), SK Batu Bertangkup (272 mangsa) dan UiTM Arau (317 mangsa). Jumlah tertinggi direkodkan di Dewan 2020 iaitu 625 mangsa daripada 177 keluarga sejak dibuka pada pukul 4 petang semalam, menjadikannya PPS paling padat setakat ini,” katanya hari ini.
Menurut Rahimi, fasiliti pendidikan turut diaktifkan sebagai PPS seperti Dewan Serbaguna UniMAP Kubang Gajah (177 mangsa), Dewan Ilmu Unimap Ulu Pauh (174 mangsa) dan Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (261 mangsa), manakala SK Panggau turut dibuka dan menempatkan 397 mangsa dari Kampung Baru Tok Kuning serta Kampung Panggau pukul 2.30 pagi tadi,
Tinjauan mendapati paras air mula meningkat di pusat bandar Kangar dengan pekarangan Hospital Tuanku Fauziah turut dinaiki air menyebabkan beberapa laluan utama ditutup kepada kenderaan ringan, manakala siren amaran dibunyikan kira-kira pukul 12 tengah hari di Jalan Penjara dan terdapat pergerakan penghuni kuarters kerajaan mula berpindah ke tempat selamat. – KOSMO! ONLINE















