IPOH – Kerajaan negeri memperuntukkan bantuan khas RM1,000 seorang kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji Perak untuk musim haji 1447H/2026M.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, insentif tersebut melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta.
“Warkah belanjawan ini membawa khabar gembira kepada bakal-bakal jemaah haji negeri Perak.
“Buat julung kalinya, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1,000 seorang kepada kira-kira 3,000 bakal jemaah haji yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun hadapan,” katanya berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan insentif khas kepada dua anak Perak yang mengharumkan nama negeri dalam bidang tilawah dan hafazan al-Quran.
Menurut Saarani, kerajaan negeri berbesar hati memberikan RM20,000 kepada Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan yang muncul sebagai Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa 2025.
Katanya, insentif RM7,000 pula diberikan kepada Muhammad Adib Ahmad Rozaini yang telah mengharumkan nama negeri dengan merangkul Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 Kategori 1 hingga 30 Juzuk. – KOSMO! ONLINE














