SHAH ALAM – Seramai 125 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan terjejas susulan bencana alam termasuk banjir di Selangor hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohd. Azuan Mohd. Nawawi berkata, seramai 118 calon terkesan akibat banjir, manakala 11 lagi disebabkan kejadian tanah runtuh.
Kesemua calon itu daripada 14 buah sekolah di negeri ini.
“Justeru, pilihan diberikan kepada calon-calon sama ada menduduki SPM di pusat peperiksaan asal atau mana-mana pusat yang terdekat dengan mereka.
“Kita juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menggunakan trak bagi memastikan tiada calon tercicir dalam SPM tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama SPM Bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 di sini.
Mohd. Azuan berkata, sebanyak 57 calon dari SMK Dusun Nanding, Hulu Langat ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan urusan berbanding bergerak dari rumah masing-masing yang terjejas ekoran banjir.
“Sekolah ini tidak terjejas banjir dan pusat peperiksaan beroperasi seperti biasa. Enam guru ditempatkan sepenuh masa untuk kawalan dan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti seramai 558 calon berisiko dari 26 buah sekolah yang berkemungkinan terjejas akibat bencana alam. Secara keseluruhannya, Selangor merekodkan seramai 75,489 calon SPM melibatkan 502 pusat peperiksaan. – KOSMO! ONLINE















