fbpx
Dzulkhairi (tengah) menunjukkan senjata parang yang digunakan suspek pada sidang akhbar di IPK Melaka. Foto ARIF HAMIZAN MISKON

Tiga penyamun ditembak mati selepas tetak tangan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Tiga penyamun ditembak mati sepasukan polis selepas mereka menetak tangan seorang koperal hingga hampir putus ketika cuba diberkas berhampiran ladang sawit di Durian Tunggal, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu, dua suspek berusia 29 dan 24 tahun serta seorang lagi yang identitinya belum dikenal pasti disahkan mati ditempat kejadian.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku selepas kumpulan digelar ‘Geng DT’ itu bertembung dengan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama BSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah yang menjalankan Op Casa.

Katanya, pasukan yang curiga dengan pergerakan suspek telah memperkenalkan diri sebagai polis menyebabkan kumpulan itu terkejut lalu bertindak melibas parang panjang sehingga menyebabkan seorang koperal berusia 30-an cedera di lengan kiri.

“Dalam keadaan berbahaya dan bagi mempertahankan diri dari serangan yang boleh mendatangkan kematian serta cedera parah kepada pasukan operasi, tembakan telah dilepaskan ke arah semua suspek.

“Pasukan kemudian telah membuat pemeriksaan taktikal ke atas suspek serta kawasan berkenaan dan mendapati kesemua mereka mati akibat tembakan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Tambahnya, antara barang yang ditemui pada suspek adalah tiga bilah parang, tiga topeng muka, tiga set sarung tangan, pemotong besi dan beg hitam.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil semakan identiti mendapati dua suspek merupakan penduduk tempatan yang menetap di Durian Tunggal, manakala seorang lagi belum dikenal pasti.

“Semakan rekod mendapati suspek berusia 29 tahun turut mempunyai 39 rekod jenayah dan dadah serta merupakan individu dikehendaki, manakala suspek kedua pula ada 12 rekod jenayah serta dadah.

“Kumpulan ini aktif melakukan samun sejak tahun lalu dan setakat ini mereka telah melakukan sebanyak 20 kes samun di Melaka dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Selangor membabitkan nilai kerugian RM1.35 juta,” ujarnya.

Jelasnya, kumpulan itu menyasarkan rumah kediaman, kilang dan curi kenderaan dengan taktik mencabut penyahkod (decoder) rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan memakai topeng serta sarung tangan.

Katanya lagi, suspek juga tidak menaiki kenderaan sebaliknya hanya berjalan kaki dengan membawa peralatan samun bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak polis.

Dzulkhairi berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana dengan niat mencuba membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI