PETALING JAYA – Pelbagai inisiatif diambil oleh orang ramai sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh bagi mengurangkan kerosakan terutama pada barangan berharga.
Menerusi tinjauan di media sosial, penduduk di kawasan rendah sudah mula mengalihkan perabot, barangan elektrik serta dokumen penting ke tempat yang selamat.
Namun, perkongsian seorang pengguna menarik perhatian apabila dia membalut kenderaannya dengan menggunakan plastik.
“Ikhtiar supaya kereta tak rosak akibat banjir. Plastik ini sangat kuat,” katanya dalan hantaran di Facebook.
Trend tersebut dilihat menjadi pilihan penduduk di kawasan berisiko bagi mengelakkan kenderaan mereka rosak.
“IBila kawasan rumah dah biasa naik air…macam ini lah ‘ikhtiar terakhir’ sebelum banjir menyerang.
“Tak kisah orang nak kata apa, yang penting kereta tak tenggelam, tak masuk air dan tak rosak,” ujar seorang pengguna lagi.
Setakat ini, menerusi portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 5,327 mangsa terjejas banjir dengan 101 pusat pemindah sementara (PPS) dibuka membabitkan sembilan negeri. – KOSMO! ONLINE















