fbpx
Hussein menunjukkan mesin yang dirampas daripada sindiket itu pada sidang akhbar di IPD Kuala Selangor. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/KOSMO!

Sindiket ‘Robin Hood’ dadah RM76.2 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Kegiatan sindiket dadah berpura-pura menjadi ‘Robin Hood’ moden dengan memberikan bantuan kewangan dan pekerjaan akhirnya terbongkar menerusi empat serbuan polis, baru-baru ini.

Dalam serbuan sekitar daerah ini dan Shah Alam pada 19 November lalu berjaya merampas 2,381 kilogram pelbagai jenis dadah dianggarkan RM76.2 juta.

Turut ditahan adalah sembilan ahli sindiket termasuk ketuanya berusia 20 hingga 30-an. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati sindiket ini memproses dadah di sebuah gudang besi buruk dengan penemuan lebih lima buah mesin bagi tujuan itu.

Katanya, lokasi gudang itu pula terletak berdekatan dengan ladang ayam dan lembu.

“Ketua sindiket yang juga warga tempatan bertindak menjual ayam dan lembu diternaknya bagi mengaburi mata masyarakat dan pihak berkuasa.

“Sindiket ini ibarat ‘Robin Hood’ dengan memberikan bantuan kewangan dan memberikan pekerjaan kepada penduduk yang tinggal berdekatan tempat mereka menjalankan operasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket ini telah bergiat aktif sejak awal tahun lalu dengan sebuah rumah sewa di sekitar Bestari Jaya di sini dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah.

Ujarnya, pihak juga mempercayai sindiket ini sedang merancang untuk meningkatkan penghasilan dadah hasil penemuan mesin digunakan mereka.

“Polis turut menyita dua buah kereta, Toyota Vellfire dan Toyota Hilux yang bernilai RM224,000. Selain itu, tiga suspek yang ditahan positif dadah jenis ganja, methamphetamine dan amphetamine,” jelasnya.

Beliau menambah, kesemua suspek telah direman antara tujuh hingga 10 hari bermula 20 November lalu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN