fbpx
Hussein menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek itu pada sidang akhbar di IPD Kuala Selangor hari ini. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/KOSMO!

Seludup dadah dalam seluar dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Taktik seorang lelaki menyembunyikan sejumlah dadah dalam seluar dalam untuk di seludup keluar negara gagal selepas diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang, dekat sini baru-baru ini.

Penangkapan suspek warga asing berusia 40an itu dilakukan kira-kira pukul 7.40 pagi pada 20 November lalu bersama sejumlah dadah bernilai
RM38,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kenyataan itu hasil maklumat diterima daripada pihak Criminal Investigation Bureau (CIB) Taiwan mengenai kehadiran suspek ke negara ini.

Katanya, pihaknya kemudiannya mengikuti pergerakan suspek sebelum dia ditangkap mahu keluar dari negara ini.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah dadah jenis heroin dan methamphetamine yang diletakkan dalam seluar dalamnya. Ini termasuk 22 ketulan mampat dadah, dua botol dan dua bungkusan plastik disyaki bahan terlarang itu seberat 0.407 kilogram (kg),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menambah, hasil soal siasat kemudiannya membawa serbuan di sebuah unit apartment di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan menahan empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 40 hingga 50 tahun.

Jelas Hussein, siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah memasukkan dadah ke dalam kondom sebelum disorokkan di dalam seluar dalam.

“Kesemua yang ditahan berperanan sebagai rakan sekutu, kordinator dan transporter dengan sindiket telah aktif sejak hujung Disember tahun lalu. Dadah pula diperoleh daripada pembekal tempatan untuk edaran luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut menyita dua buah kereta, iaitu sebuah kereta Mercedes Benz GLC 250 dan kereta Perodua Bezza bernilai RM196,000.

“Kita sedang memburu pembekal dadah berkenaan dengan semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI