KUALA LUMPUR – Harga barangan dari China yang jauh lebih murah berbanding produk tempatan menjadi punca utama pengguna di negara ini cenderung memilih barangan luar, sekali gus menekan peniaga tempatan yang gagal bersaing.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata trend itu berlaku kerana hanya kira-kira 30 peratus pengguna Malaysia benar-benar mementingkan kualiti dan keselamatan produk, manakala selebihnya lebih memilih harga paling rendah.
Menurutnya, berbeza dengan pasaran luar negara yang mencatat sehingga 80 peratus pengguna memilih barang berjenama atau berkualiti, pengguna tempatan masih melihat harga sebagai keutamaan tanpa memikirkan aspek keselamatan.
Katanya, ada kalanya produk yang dibeli tidak diteliti ciri keselamatan, sebaliknya hanya menilai harganya yang murah.
Tambah Fuziah, keadaan itu memerlukan usaha berterusan kementerian untuk mendidik pengguna agar lebih bijak membuat pilihan selain mendorong peniaga memahami kehendak pasaran.
Beliau berkata, peniaga juga harus peka dengan ekosistem persaingan semasa, termasuk memahami keadaan apabila produk sama dari China ditawarkan pada harga lebih rendah sekali gus menjadikan pasaran semakin kompetitif.
“Kalau mereka jual produk yang sama dengan harga lebih mahal, mereka tidak lagi kompetitif. Jadi peniaga perlu membuat keputusan, mungkin tidak boleh jual produk sama, kena cari pilihan lain,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian ASEAN E-Commerce Conference 2025 di Hyatt Grand Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa isu itu bukan hanya berkaitan persaingan, sebaliknya melibatkan tahap kesedaran pengguna yang perlu ditingkatkan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (MICCI), Christina Tee, mengakui produk China kekal kompetitif dan situasi itu pasti memberi kesan kepada pemain industri tempatan.
Namun, katanya, penyelesaian bukan dengan mengelak pesaing luar, sebaliknya melalui kolaborasi serta meningkatkan kemahiran menjual termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Jangan takut. Kalau sudah tahu mereka lebih murah dan lebih bagus, bekerjasamalah. Fokus kepada kebolehan menjual bukan semata-mata pembuatan,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia mempunyai potensi besar dalam kemahiran jualan dan usahawan tempatan perlu memanfaatkannya untuk kekal bersaing dalam pasaran serantau.- KOSMO! ONLINE














