TELUK INTAN – Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM371,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai kanan polis.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga itu mendakwa ditipu lelaki dikenali Datuk Yoong selepas dihubungi melalui panggilan telefon pada 26 Oktober lalu.
Katanya, suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
“Bagi tujuan siasatan, mangsa berurusan dengan pihak berkenaan melalui aplikasi WhatsApp di tiga nombor telefon berbeza.
“Dalam tempoh 27 Oktober hingga 10 November lalu, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk memindahkan keseluruhan wang ke empat akaun bank di institusi kewangan berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM371,000,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek memberitahu wanita itu bahawa wang tersebut akan dikembalikan kepadanya sebaik sahaja siasatan terhadap kes penggubahan wang haram selesai dijalankan.
Katanya, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas tiada mana-mana pegawai polis yang bertemu dengannya seperti mana yang dijanjikan Datuk Yoong.
“Mangsa telah tampil membuat laporan polis pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE















