JAKARTA – Kerajaan Indonesia menolak cadangan untuk menjadikan durian sebagai buah kebangsaan Malaysia dengan alasan negara kepulauan itu merekodkan pengeluaran jauh lebih tinggi dan memiliki pelbagai spesies ‘Raja Buah’, lapor portal berita Must Share News.
“Berdasarkan data Badan Pusat Statistik (BPS), Indonesia menghasilkan hampir 2 juta tan durian pada 2024. Dengan fakta ini, saya percaya durian adalah buah kebangsaan Indonesia,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan Indonesia, Zulkifli Hasan.
Beliau menambah, pengeluaran durian pada tahun lepas adalah tertinggi dalam tempoh lima tahun dengan wilayah Jawa, Sumatera, Kalimantan serta Sulawesi menjadi penanam teratas.
Durian dianggap sebagai budaya dan sumber pendapatan penting bagi berjuta-juta petani di Indonesia.
Beberapa laporan serantau menyatakan Malaysia menghasilkan jumlah yang lebih rendah walapun nilai eksportnya meningkat menerusi varieti premium seperti Musang King.
“Apabila bercakap tentang simbol kebangsaan, anda harus berpegang pada data dan realiti. Durian Nusantara ialah kekuatan kita di Asia.
“Indonesia memiliki 21 daripada 27 spesies durian yang diiktiraf di seluruh dunia dan sehingga 2024, sebanyak 114 varieti unggul telah didaftarkan,” tambah Zulkifli.
Kenyataan itu dibuat susulan permohonan daripada Durian Manufacturer Association (DMA) untuk menetapkan durian sebagai buah kebangsaan Malaysia dan menjadikan 7 Julai sebagai Hari Durian Kebangsaan. – AGENSI















