PETALING JAYA – Malaysia dan Kenya sepakat untuk memperluaskan kerjasama kedua-dua negara dalam agenda pembandaran mampan serta pembangunan bandar yang berdaya tahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan serta kerjasama strategik Malaysia dan Kenya di Nairobi hari ini.
“Kami meneliti pelbagai bidang kerjasama yang berkembang pesat merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertanian, industri halal, pendidikan, pembangunan modal insan, teknologi digital serta peluang baharu dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, pembangunan bandar lestari dan industri kreatif.
“Malaysia menyatakan kesediaan dan komitmen untuk terus menyokong aspirasi Kenya sebagai hab penting di Afrika Timur khususnya dalam bidang digital, inovasi, TVET dan peningkatan kapasiti selaras dengan semangat kerjasama Selatan-Selatan yang didukung Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau dan Presiden Kenya, Dr. William Samoei Ruto pada mesyuarat itu turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global.
Menurut beliau, perbincangan termasuk mengenai isu Palestin dan Sudan, konflik kemanusiaan, perubahan iklim serta keperluan mendesak bagi reformasi sistem antarabangsa suoaya lebih adil, inklusif dan mencerminkan suara negara membangun.
Tambah beliau, Malaysia turut menyatakan penghargaan terhadap peranan signifikan Kenya sebagai tuan rumah kepada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
“Saya menzahirkan penghargaan atas layanan mesra Presiden Ruto dan turut menjemput beliau melakukan lawatan ke Malaysia sesegera mungkin bagi memperkukuh hubungan persahabatan ini,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan, beliau dan Presiden Kenya menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang bakal memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam bidang strategik.
Jelas beliau, ia melibatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, perjanjian perkhidmatan udara dua hala serta kolaborasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Nairobi City County.
Ujar beliau, setiap dokumen itu mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk membina landskap hubungan yang lebih kukuh, progresif dan saling melengkapi.
“Kami menegaskan iltizam untuk memastikan semua kerjasama yang dimeterai ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan keberkesanan agar manfaatnya dapat dirasai secara nyata oleh rakyat Malaysia dan Kenya.
“Malaysia akan untuk terus berusaha memperluas hubungan ini selaras dengan semangat persahabatan yang telah bertaut sejak enam dekad lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE















