fbpx
Gambar hiasan

Kerani rugi RM94,569 ditipu ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang kerani untuk meraih komisyen lumayan daripada pekerjaan sambilan bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian RM94,569 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.

Wanita berusia 44 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes berkenaan pada pukul 4.49 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kerani itu telah menerima mesej menawarkan pekerjaan sambilan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 6 petang, 13 November lalu.

“Nombor telefon bimbit mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram yang menawarkan kononnya komisyen 20 peratus daripada setiap tugasan diselesaikan.

“Dia hanya perlu membeli barangan sebelum dijanjikan kononnya modal pembelian tersebut akan dipulangkan semula bersama tambahan komisyen terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, wanita itu yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan ‘tugasan’ terbabit antara 15 November hingga 20 November lalu.

Beliau berkata, semua transaksi berjumlah keseluruhan RM94,569 telah dilakukan kerani berkenaan ke dalam tujuh akaun bank berasingan.

“Mangsa kemudiannya mahu mengambil semua modal pembelian bersama komisyen dijanjikan namun diminta pula membayar RM50,000 sebagai syarat pengeluaran.

“Dia yang curiga tidak menurut kehendak suspek kerana mengesyaki telah tertipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI