fbpx
KEADAAN kemalangan meragut nyawa Juhari (gambar kecil) dalam kejadian di Jalan Sri Bengkal, Sri Gading, Batu Pahat hari ini.

[KEMASKINI] Ajal dihempap ‘coupling shaft’ terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Seorang warga emas menemui ajal apabila maut dihempap besi penyambung ‘coupling shaft’ atau gandingan aci pusingan sebuah lori tercabut dalam kejadian di Jalan Sri Bengkal, Sri Gading, pagi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Juhari Murid, 63, cedera parah di muka selepas besi seberat lebih 100 kilogram dari lori tapper tercabut lalu menembusi cermin hadapan kenderaan dinaiki dan mengena mukanya.

Lebih memilukan kejadian itu meninggal kesan mendalam terhadap ahli keluarga kerana arwah sepatutnya bertemu cucu, Mohd Aidan Rizki Firdaus berusia tiga bulan di rumah mereka di Parit Simpan, di sini hari ini.

Ketika kejadian, Juhari bersama isteri, Zaina Khalid, 58, adik lelakinya, Aspar, 56, yang memandu Perodua Alza serta dua lagi adik arwah dalam perjalanan dari Senggarang di sini, ke Felda Pemanis, Segamat atas urusan keluarga.

Menceritakan kejadian memilukan itu, anaknya, Noor Shahin, 31, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang sepupunya memaklumkan bapanya kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pada awalnya, hati saya terlalu berat untuk lepaskan ayah ke sana (Segamat), rupa-rupanya ia petanda saya kehilangan orang tersayang.

“Sebaik mendapat berita sedih itu, saya teringat rasa tidak sedap hati semalam selepas ibu, memberitahu dia bersama ayah mahu ke Segamat,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini hari ini.

Noor Shahin berkata, sehari sebelum kejadian, dia sempat membuat panggilan video bersama arwah bapanya.

Katanya, arwah teruja dan menyatakan tidak sabar untuk berjumpa dengam cucu-cucunya di rumah keluarga di Parit Simpan di sini.

“Semasa buat ‘video call’ ayah cakap dia tak sabar nak jumpa anak saya.

“Ayah cakap rindu cucu. Jadi saya hendak balik hari ini, tapi kepulangan saya kali ini hanya untuk menatap jenazah ayah. Minggu lalu kami sempat berjumpa dan arwah tidak menunjukkan perubahan.

“Pada ketika ini, ibu masih dalam keadaan terkejut. Kejadian itu juga meninggalkan kesan kerana berlaku di depan mata ibu… besi menghentam muka arwah,” katanya dalam keadaan sebak.

Sementara itu, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Simpan, Senggarang selepas solat Asar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI