BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengekalkan aksi konsisten bagi kempen 2025 apabila merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia yang berlangsung di Sydney.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Olympic Boulevard semalam, gandingan No. 4 dunia itu tidak berdepan banyak masalah untuk mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.
Menggalas status sebagai pilihan utama kejohanan, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan straight-set 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit.
Gelaran itu pastinya menjadi tonik terbaik buat juara dunia berkenaan sebelum memikul tanggungjawab pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 serta saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China bulan depan.
Menerusi kemenangan itu, Tang Jie-Ee Wei akhirnya berjaya menamatkan kemarau gelaran dalam saingan Jelajah Dunia musim ini selepas percubaan mereka pada China Masters September lalu berakhir dengan naib juara.
Sebagai rekod, gelaran Terbuka Australia menjadi kejuaraan kedua mereka sepanjang kempen 2025 selepas turut melakar sejarah memenangi Kejohanan Dunia yang berlangsung di Paris, Perancis Ogos lalu.
Terbuka Australia merupakan kejohanan pertama buat gandingan tersebut selepas kali terakhir beraksi pada Terbuka Perancis bulan lepas kerana terpaksa berehat akibat kecederaan bahu dialami Tang Jie.
Selaku juara, Tang Jie-Ee Wei berjaya membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM156,385), pingat serta trofi manakala Jafar-Felisha berpuas hati dengan AS$18,050 (RM75,223) dan pingat.















