fbpx
Wan Aishah (kiri) memegang gambar pra konvokesyen Allahyarham Wan Adlin bersama ibu bapanya dan adik ketiga mereka selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Tun Abdul Razak, UKM di Bangi hari ini. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

Kaki terketar, air mata bergenang naik pentas ambil skrol arwah adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – “Kaki terasa sangat berat…terketar, tapi saya tetap teruskan juga.”

Itu luahan pilu kakak kepada Allahyarham Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim iaitu Wan Aishah Wahidah apabila terpaksa menggagahkan diri naik ke pentas menerima skrol ijazah adiknya yang maut dalam kemalangan pada 15 November lalu.

Wan Aishah, 24, yang kini menjalani latihan industri di Alor Setar, Kedah mengakui perjalanan ke majlis konvokesyen hari ini seolah-olah ‘kosong’ tanpa adik tersayang di sisi.

“Saya gementar… sangat gementar. Sepanjang perjalanan ke sini pun rasa tak tentu arah. Bila fikir balik saat terima berita kematian dia…saya jadi kaku. Masa tu tak rasa apa-apa sebab terlalu terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Aishah hadir mewakili Allahyarham Wan Adlin, 23, bagi mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan sempena Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Menurut pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris, Universiti Sains Malaysia (USM) itu, dia dan Allahyarham sangat rapat kerana mereka berdua tinggal sebilik sejak kecil.

“Kami memang rapat, tidur sebilik. Kali terakhir saya jumpa dia sebulan lalu masa satu keluarga hantar ke Alor Setar untuk praktikal.

“Kami sempat bermesej malam sebelum kejadian, saya mesej tanya pasal produk skincare (penjagaan kukit) saja. Tapi, dia tak balas. Sampai pagi pun mesej tu tak dijawab. Rupanya itu kali terakhir saya ‘bercakap’ dengan dia,” ujarnya.

Wan Aishah menambah, setelah kehilangan seorang adik yang menjadi teman sebilik, hidupnya kini terasa sangat janggal.

“Balik rumah…bilik tu sepi. Baju dia, make up dia semua masih ada. Sekali pandang pun dah buat saya terbayang dia. Saya memang belum kuat lagi untuk tengok semua tu,” luahnya.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Fatin Sharina A Halim, 46, berkata, keluarga sepakat memilihnya anak sulungnya untuk naik menerima skrol sebagai wakil Allahyarham kerana hubungan mereka yang paling rapat.

“Sebagai ibu, saya sangat bangga dengan dia, kami rapat, kalau saya outstation (kerja luar) berjam-jam akan bersembang melalui penggilan telefon atau video.

“Cuma untuk hari ini, saya tak mampu nak naik (pentas). Ikutkan suami (Wan Nasrul Hakim Wan Muhammad, 49) tak nak pergi, tapi saya gagah untuk hadir juga bagi memenuhi keinginan arwah yang betul-betul teruja untuk hadir konvokesyen,” katanya.

Pada masa sama, Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM, Professor Dr. Mohd Azlan Shah Zaidi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, sambil menzahirkan rasa kehilangan yang besar atas pemergian graduan muda itu.

“Arwah seorang yang sangat baik dengan rakan-rakan dan keluarga. Apa yang berlaku adalah satu dugaan berat buat semua, dan kami berharap keluarga tabah menghadapi situasi ini,” katanya.

Terdahulu, Wan Adlin meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di kilometer 126 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN