fbpx
Gambar hiasan

Jemaah umrah elak lawat ladang unta jauhi jangkitan MERS-CoV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Pengembara yang mengunjungi negara Timur Tengah termasuk jemaah umrah dan haji dinasihatkan mengelakkan aktiviti melawat ladang unta bagi mengurangkan risiko dijangkiti Middle East Respiratory Syndrome (MERS-CoV).

MERS merupakan penyakit menjejaskan sistem pernafasan yang disebabkan oleh coronavirus di mana kebanyakan kes dilaporkan berlaku di Timur Tengah seperti Arab Saudi, Jordan dan Yaman.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kumpulan itu juga dinasihatkan menjauhi unta serta haiwan ternakan lain ketika berada di negara berkenaan.

“Mereka perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan sebelum makan, selepas menggunakan tandas dan apabila tangan kotor.

“Elakkan kontak rapat dengan individu yang bergejala jangkitan pernafasan serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.

“Semasa berada di negara Timur Tengah, jauhi unta serta haiwan ternakan lain dan elakkan mengunjungi ladang unta,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

CPRC berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa pengguna media sosial yang menceritakan mereka dijangkiti MERS-CoV selepas pulang dari Tanah Suci.

Kata CPRC, MERS-CoV boleh menyebabkan gejala ringan atau tiada gejala langsung, namun boleh menjadi teruk hingga menyebabkan radang paru- paru (pneumonia) dan kematian.

“Gejala lazim termasuk demam, batuk dan sesak nafas, manakala gejala gastrousus seperti cirit-birit juga boleh berlaku.

“Kes yang teruk boleh mengalami kegagalan pernafasan dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Jelasnya, golongan warga emas, individu dengan penyakit kronik atau yang mempunyai sistem imun lemah berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi teruk akibat jangkitan MERS.

“Sejak awal tahun 2025 sehingga 3 November lalu, sebanyak 12 kes MERS telah dilaporkan di Arab Saudi dengan kematian.

“Kali terakhir kes dilaporkan ialah dalam bulan Ogos 2025.

“Sejak April 2012 sehingga 3 November lalu, jumlah kumulatif sebayak 2,640 kes dengan
958 kematian dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia,” katanya.

Bagi situasi di Malaysia tahun ini, sebanyak 820 kes disyaki MERS Co-V telah dilaporkan dalam sistem eNotifikasi dan kesemuanya disahkan negatif ujian PCR.

“Secara kumulatif, terdapat dua kes MERS-CoV disahkan melalui makmal yang dilaporkan pada tahun 2014 dan 2017.

“Kes pertama dilaporkan pada 14 April 2014, melibatkan seorang lelaki berusia 54 tahun yang
mengalami radang paru-paru dan kesukaran bernafas selepas pulang daripada menunaikan umrah di Arab Saudi.

“Beliau meninggal dunia tiga hari selepas dimasukkan ke hospital,” katanya.

Kes kedua dilaporkan pada 30 Disember 2017, melibatkan seorang lelaki berumur 55 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan menunaikan umrah dan disahkan positif MERS-CoV pada 31 Disember 2017.

Katanya, KKM masih meneruskan aktiviti survelan MERS-CoV terutamanya dalam kalangan jemaah haji dan umrah serta individu yang pulang dari kawasan berisiko. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI