PETALING JAYA – Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa lokasi di Shah Alam dinaiki air, sekali gus menjejaskan lalu lintas di lebuh raya berhampiran.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran Facebook memaklumkan beberapa kawasan terjejas, termasuk Jalan Batu Tiga Lama.
“Berikutan hujan lebat, Anggota Penguatkuasa MBSA telah menutup Jalan Batu Tiga Lama menuju ke Taman Mesra, Seksyen U1, akibat paras air yang meningkat,” katanya.
Selain itu, Jalan Kampung Kubu Gajah 5 kini tidak boleh dilalui disebabkan kenaikan paras air yang tinggi, manakala Jalan Sentosa, Seksyen 25, Taman Desa Kemuning dan beberapa kawasan lain turut terjejas.
Anggota Pasukan PANTAS MBSA turut menjalankan pemantauan di kawasan tumpuan banjir seperti Sungai Damansara, Seksyen 13.
MBSA menegaskan, anggota penguatkuasa telah diarahkan untuk memindahkan kenderaan ke lokasi selamat dan menutup beberapa jalan bagi mengelak risiko bahaya akibat paras air meningkat.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Penduduk yang terjejas juga diminta berpindah ke pusat penempatan sementara yang telah disediakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















