PETALING JAYA – Jemaah haji, Asmah Mansor, 71, yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci, dijangka tiba di tanah air malam ini selepas segala urusan kepulangannya berjaya diselaraskan pihak berkuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses membawa pulang Asmah kini berada pada peringkat akhir, melibatkan penyelarasan penerbangan, dokumentasi serta pengesahan kesihatan dengan pihak berautoriti di Arab Saudi.
“Setelah usaha membawa pulang dilakukan diselaraskan pihak Tabung Haji, Hajah Asmah dijangka tiba di Malaysia pada malam ini, tertakluk kepada koordinasi akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berharap agar semua urusan berkenaan dipermudah supaya ketibaan Asmah ke tanah air berjalan lancar.
“Saya memohon seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan supaya misi ini dipermudah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mohd Na’im merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan sumbangan termasuk wang tunai yang dihulurkan bagi membantu keluarga jemaah haji itu.
“Maklumat lanjut dan perkembangan seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kutipan Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia mencapai sasaran dan ditutup serta-merta pada 17 November lalu untuk membawa pulang Asma ke Malaysia.
Mohd. Na’im dilaporkan berkata, sumbangan rakyat Malaysia yang luar biasa dalam masa singkat membolehkan tabung itu mengumpulkan sebanyak RM372,222.66.
Asmah sebelum ini dilaporkan sedang bertarung nyawa akibat pneumonia dan perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Difahamkan, Asmah sempat menyempurnakan ibadah haji sebelum keadaan kesihatannya merosot secara mendadak dan dia merupakan jemaah terakhir musim haji 1446H yang masih berada di Saudi German Hospital di Mekah sejak 13 September lalu. – KOSMO! ONLINE














