BUKIT KAYU HITAM – Empat rakyat Syria antara enam warga asing yang ditolak kemasukan ke negara ini menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam.
Timbalan Komander (Operasi) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Adam Hamidi Auliyad Mohd Amran berkata, kemasukan dua lelaki dan dua wanita Syria serta masing-masing seorang lelaki India dan Bangladesh ditolak kerana disyaki bukan pelancong tulen.
“Mereka didapati tidak mempunyai tujuan kemasukan yang sah serta termasuk dalam kategori warganegara yang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia melalui jalan darat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 30-an hingga 40-an dikenakan Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.
“Semua individu terbabit telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama. Tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti dalam kes ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya komited memastikan keselamatan pintu masuk negara sentiasa berada pada tahap terbaik serta bebas daripada sebarang ancaman keselamatan dan penyalahgunaan. – KOSMO! ONLINE















