fbpx
PELAKON Isa Khan kembali lantang mengupas isu hiburan, kali ini mengkritik penerbitan naskhah drama televisyen yang disifatkan ghairah memaparkan adegan 'soft porn' demi rating.

‘Drama sekarang banyak tak senonoh, gadai maruah agama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Susulan kebanjiran adegan berbaur ‘soft porn’ yang dikhuatiri mencemar minda penonton, khususnya generasi muda, pelakon Isa Khan menggesa pembikin drama tempatan agar kembali berpijak kepada maruah dan nilai murni yang mendidik bangsa bukannya merosakkan.

Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad, 32, menyuarakan rasa kurang senang terhadap naskhah moden yang menurutnya terlalu kerap menonjolkan adegan sumbang semata-mata mahu mengejar angka tontonan.

“Drama Melayu sekarang banyak tak senonoh. Terlalu banyak babak berunsur ‘soft porn’ kononnya nak naikkan rating, sampai maruah agama tergadai.

“Drama televisyen ni untuk tontonan umum, budak kecil pun tengok. Tak habis-habis cerita fasal penyondol, tak peliklah ramai orang menyampah dan tak tengok TV dah,” katanya dalam Threads.

Tidak mahu anak bangsa terus punah, pelakon filem Seratus itu berharap naskhah seni baik filem mahupun drama kembali kepada fungsi asal iaitu mendidik, bukan merosakkan.

Selain isu drama tanah air, Isa sebelum ini lantang mengkritik trend lagu Jamilah dalam TikTok yang disifatkan memalukan dan menjatuhkan nilai agama, khususnya kaum wanita yang berlumba-lumba meninggalkan komen nakal.

“Nak berkarya biarlah yang ada manfaat untuk orang lain

“Bukan hanya untuk kepuasan sendiri dan mencemarkan imej agama Islam serta pengaruh buruk kepada masyarakat,” tegasnya.

Kenyataannya itu segera mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju bahawa drama tempatan semakin hilang nilai seni sebenar.

“Betul kata Isa. Lama dah drama Melayu hanyut, kita perlukan karya bermaruah dan boleh mendidik tapi apa boleh buat, masyarakat lebih suka alur cerita sebegitu,” komen netizen.

“Sokong sangat! Anak-anak pun tengok TV, takkan setiap malam disuap konflik kotor macam tu, lama-lama boleh terpengaruh,” tulis pengikut.

“Harap lepas ni penerbit fikir panjang. Takkan nak naik rating sampai hilang adab. Kita rindu drama bermutu. Tak perlu babak panas pun boleh berjaya,” tulis seorang pengguna media sosial.

Isu tersebut bukan perkara baharu, malah sebelum ini beberapa selebriti seperti Fazura dan Siti Saleha turut menegur arah tuju drama tempatan yang disifatkan semakin jauh daripada nilai asal karya kreatif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN